KELAHIRAN seorang bayi boleh mendatangkan banyak perubahan kepada setiap ahli keluarga. Manakan tidak, sebelum kelahiran, pasti ibu dan ayah membuat persiapan seperti membeli keperluan bayi, merancang tempat bersalin dan macam-macam perkara lagi. Bukan setakat keperluan material sahaja, tenaga dan masa juga dicurahkan ke tahap maksimum demi memastikan bayi yang bakal dilahirkan mendapat hanya yang terbaik.
Selepas sahaja kelahiran, lebih banyak perhatian ditumpukan kepada keperluan asas yang sepatutnya diperoleh oleh anak tersebut. Perhatian tersebut bukan hanya terbatas kepada keperluan asas, malah kasih sayang dan perhatian yang tidak berbelah bagi.
Mungkin bagi ibu bapa ia satu kegembiraan yang tidak terbatas, tapi pernahkah mereka fikirkan perasaan anak yang lebih tua untuk berhadapan dengan kedatangan ‘orang baru’ tersebut.
Perasaan cemburu memanglah satu senario normal yang dialami anak yang lebih tua. Lebih merisaukan perasaan cemburu tersebut tidak boleh dibendung malah diluahkan dalam bentuk sikap dan tindak tanduk negatif.
Sebelum anak yang lebih tua memberontak selepas kelahiran adik mereka, sebaiknya ibu dan bapa melakukan persediaan awal.
Antara yang boleh dilakukan ialah dengan mengajak mereka sama-sama berbincang tentang perancangan yang boleh dilakukan bersama setelah si adik ‘muncul’ ke dunia kelak.
Sepanjang tempoh mengandung, cuba jelaskan kepada anak bahawa seorang adik akan lahir dan menjadi rakan padanya. Jelaskan dalam maksud yang mudah dan ayat yang ringkas mengikut pemahaman mereka.
Sebenarnya, memang tiada masa dan waktu yang tepat untuk memberitahu kepada anak-anak tentang kelahiran orang baru kepada mereka.
Apabila anda membincangkan tentang fasa mengandung, lihatlah juga tahap kematangan anak anda serta pemahamannya tentang proses mengandung tersebut.
Anak yang berusia sekitar enam hingga tujuh tahun contohnya, masih belum dapat memahami konsep masa, jadi sia-sialah jika anda memberitahu bahawa bayi dalam perut ini akan lahir dalam beberapa bulan lagi.
Sebagai alternatif, anda boleh memberitahu mereka bahawa mereka akan mempunyai seorang adik pada musim tertentu seperti musim cuti sekolah akan datang ataupun musim perayaan yang akan menjelang tiba.
Ketika mengandung
Berapa banyak pengetahuan yang perlu anda berikan kepada anak yang lebih tua? Biarkan soalan-soalan anak menjadi panduan anda.
Contohnya, seorang anak yang berusia empat tahun mungkin akan bertanya soalan seperti ini; Bayi berasal dari mana? sudah tentu anak anda bukanlah ingin mengetahui tentang seks namun memadailah jika anda menjelaskan bahawa bayi berasal dari dalam perut ibu. Anak kecil memang mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi, justeru bersedialah untuk jawapan yang setimpal namun logik dengan tahap pemikiran kecil mereka.
Jika anak anda mula menunjukkan sikap teruja terhadap kelahiran adik mereka, aktiviti ini boleh dicuba.
Pertama, tunjukkan gambar imbasan bayi di dalam perut kepada anak anda. Kemudian bacakan buku tentang kelahiran bayi. Sesekali anda boleh membawa anak ke rumah rakan yang mempunyai bayi kecil. Sambil anda siapkan beg untuk ke hospital, ajak anak anda bersama-sama menyusun baju bayi dan keperluan lain.
Ajak anak berbincang tentang pemilihan nama bayi yang bakal lahir dan sesekali bawa anak anda ke pemeriksaan doktor untuk mendengarkan degupan jantung bayi kepada anak anda.
Apabila tarikh jangkaan melahirkan semakin tiba, rancanglah di mana hendak letakkan anak-anak sementara anda berada di hospital. Bincangkan hal tersebut dengan mereka jadi apabila tiba harinya mereka akan faham dengan apa yang berlaku.
Jadikanlah anak tetamu pertama yang melawat anda selepas anda melahirkan bayi. Biarkan suasana tersebut intim untuk anda sekeluarga meraikan kedatangan orang baru dalam keluarga anda.
Bawa bayi ke rumah
Apabila bayi telah sampai ke rumah, jangan sesekali mengabaikan perhatian terhadap anak yang lain. Pastikan mereka terlibat dalam setiap aktiviti anda bersama bayi.
Mengikut pemerhatian memang ramai kanak-kanak suka menjaga bayi. Mereka ingin cuba menukar lampin, menolak kereta sorong, bercakap dengan bayi, memandi mahupun menolong bayi sedawa.
Memang sikap mereka sebenarnya menambah kepenatan si ibu namun dengan melayani kehendak mereka sebenarnya memberikan lebih peluang interaksi positif antara bayi dan kakak atau abang mereka.
Bagaimanapun, jika anak bersifat tidak peduli akan adik baru mereka, jangan sesekali memaksa, biarkan sifat sayang itu datang seiring penambahan masa secara semulajadi.
Sekiranya anda ingin menyusukan bayi pula, pastikan anak anda yang lebih tua tidak mengganggu. Caranya, berikan mereka mainan agar mereka tidak terasa diabaikan.
Jika bayi anda tidur, cuba maksimumkan masa bersama anak anda, peluk mereka dan main bersama dapat mengurangkan rasa marah anak tersebut selepas kehadiran adik dalam hidup mereka.
Berhadapan dengan perasaan
Galakkan anak meluahkan isi hati mereka tentang kehadiran bayi tersebut. Jika mereka tidak boleh meluahkan perasaan tersebut, jangan terkejut jika mereka tiba-tiba bercakap pelat.
Jika ini berlangsung, maknanya mereka mahukan masa berdua dengan anda.







February 22nd, 2010 at 1:31 pm
apa yang saya cari, terima kasih